.
loading...
Tuesday, 2 August 2016
Home »
» Hukum menanam daun ketun bagi kegunaan farmaseutikel dan perubatan
Hukum menanam daun ketun bagi kegunaan farmaseutikel dan perubatan
IRSYAD AL-FATWA KE-124: HUKUM MENANAM POKOK KETUM BAGI TUJUAN PERUBATAN & FARMASEUTIKAL
Soalan:
Apakah hukumnya menanam daun ketum bagi tujuan komersial seperti perubatan dan juga farmaseutikal?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mengenai soalan di atas, kami mulakan perbincangan ini dengan memberikan sedikit pengenalan mengenai daun ketum agar dengan sedikit maklumat yang disertakan di sini dapat memberikan gambaran awal mengenai isu yang bakal dibincangkan.
Daun Ketum
Ketum/Kratom atau nama saintifiknya mitragyna speciosa merupakan tumbuhan tropika yang banyak dijumpai di kawasan asia tenggara khususnya di Thailand dan juga Malaysia. Ianya digunakan secara tradisional dengan mengunyahnya ataupun dengan meminum air rebusannya dan ianya terbukti sebagai minuman pemulih tenaga, mengeluarkan angin dalam badan dan juga merawat sakit belakang.
Pokok Ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin. Mitraginin telah disenaraikan dalam Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952. Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003.[1]
Penguatkuasaan Undang-Undang Terhadap Ketum/Kratom
Malaysia: Penggunaan daun ketum adalah diharamkan. Ini sepertimana yang termaktub di dalam seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan pengguna daun ketum boleh dikenakan panalti kompaun maksimum sebanyak RM 10 ribu dan penjara tidak melebihi 4 tahun.
Thailand: Pemilikan daun ketum di Thailand juga adalah diharamkan. Kerajaan Thailand telah meluluskan Kratom Act 2486 berkuatkuasa 3 Ogos 1943 yang mana menjadikan penanaman pokok ketum adalah haram dan pokok sedia ada perlulah di tebang. Namun, penguatkuasaannya tidaklah begitu efektif kerana penggunaan daun ketum mendapat sokongan daripada masyarakat Thailand lebih-lebih telah digunakan secara turun temurun bagi tujuan perubatan. Disebabkan oleh itu, terdapat gerakan untuk menjadikan ketum sebagai sesuatu yang ‘halal’ dan tidak disenaraikan di dalam jenis dadah narkotik yang merujuk kepada kategori 5, Undang-Undang Dadah Narkotik 1979 Thailand.
Amerika Syarikat (AS): S Drug Enforcement Administration telah mengeluarkan kenyataan bahawa ketum/kratom tidak berada di bawah kawalan Federal Controlled Substances Act namun terdapat sebahagian negeri di Amerika yang mengharamkan pemilikan dan penggunaan ketum. Sebagai contoh, di sebuah negeri di AS iaitu Alabama telah mengeluarkan arahan agar segala produk yang mengandungi unsur ketum dikeluarkan dari kedai-kedai.
Hukum Menanam Pokok Ketum/Kratom
Pada asalnya, hukum menanam pokok ketum adalah harus sepertimana pokok-pokok yang lain. Tidak ada nas yang melarangnya bahkan ianya termasuk di dalam perkara-perkara mubahat (yang dibolehkan) untuk kegunaannya. Namun, meskipun hukum asalnya harus tetapi ianya boleh membawa kepada hukum yang haram jika terdapat faktor-faktor luar yang boleh membawa kepada sesuatu yang lebih mudarat.
Misalannya, pohon anggur pada asalnya adalah diharuskan kerana ianya adalah dari jenis-jenis tumbuhan yang manusia boleh memperolehi manfaat darinya. Namun, penanaman anggur bagi tujuan komersial untuk dijadikan sebagai arak adalah diharamkan. Selain dari arak itu sendiri yang diharamkan oleh nas syarak, ianya juga boleh membawa kepada mudarat yang lebih besar kepada komuniti masyarakat baik dari segi kesihatannya mahupun sosio-ekonominya.
Mafsadah vs Manfaat
Begitu juga dengan pokok ketum. Tidak dinafikan bahawa daun ketum mempunyai khasiatnya yang tersendiri dan telah terbukti secara tradisional bagi mengubati beberapa jenis penyakit namun, disebalik manfaat yang diperolehi melalui aktiviti pengkomersialannya itu terpalit juga mafsadah (kerosakan) yang bakal berlaku bahkan sehingga kini ianya telahpun berlaku di Malaysia. Ini sepertimana yang telah Allah SWT firmankan:
۞يَسَۡٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِۖ قُلۡ فِيهِمَآ إِثۡمٞ كَبِيرٞ وَمَنَٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثۡمُهُمَآ أَكۡبَرُ مِن نَّفۡعِهِمَاۗ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”
(Al-Baqarah: 219)
Al-Imam Ibn Jarir al-Tabari di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa meskipun terdapat manfaat dari keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya. Ini sepertimana yang berlaku kepada orang yang meminum arak dengan merasakan kelazatan yang diteguknya namun akibat dari mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Manfaatnya ada namun mafsadah yang timbul daripadanya lebih besar.
Daun ketum menjadi alternatif lain bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan dadah kerana harganya yang murah serta mudah diperolehi. Akibat penyalahgunaan daun ketum, berlakunya ketagihan dan juga mengakibatkan kerosakan kepada empunya badan dan juga masyarakat sekeliling. Sudahlah isu dadah yang melanda negara kita belum dapat dibanteras dengan sebaiknya, kini ditambah pula dengan satu lagi masalah yang lain.
Setiap Yang Membahayakan Adalah Haram Memakan dan Meminumnya
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah di dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam menyebutkan bahawa tedapat kaedah umum yang diakui oleh syariat Islam iaitu: Tidak halal bagi orang Islam memakan daripada apa sahaja makanan daripada apa sahaja makanan atau minuman, biarpun sedikit, yang boleh membinasakan dirinya sama ada dengan cepat mahupun secara perlahan-lahan seperti racun daripada segala macam jenisnya, ataupun benda-benda yang boleh membahayakan atau menyusahkannya. Begitu juga tidak boleh memperbanyakkan daripada makanan dan minuman kerana dengan banyaknya boleh merosakkan dirinya.
Ini kerana orang Islam itu tidak memiliki dirinya sendiri, bahkan dia dimiliki oleh agama dan umatnya, dan ianya tertakluk kepada kehidupan, kesihatan dan harta bendanya. Semua nikmat Allah SWT yang ada dalam tangannya adalah amanah daripada Allah SWT. Justeru, dia tidak boleh sama sekali mensia-siakannya. Firman Allah SWT:
وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ
Maksudnya: dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan
(Al-Baqarah: 195)
Sepertimana arak yang boleh memabukkan dan dadah yang boleh mengkhayalkan sehingga menghilangkan pemikiran yang waras, begitulah juga penggunaan daun ketum yang juga boleh memabukkan. Maka di sini, hukum pengharaman arak yang memabukkan terpakai kepada daun ketum dan kaedah qiyas digunapakai terhadap isu ini.
Ini juga sepertimana yang dinaskan oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali Rahimahullah di dalam kitabnya al-Mustasfa yang mana beliau menyatakan bahawa setiap benda yang memabukkan dari yang diminum dan dimakan daripadanya adalah haram diqiyaskan (hukumnya) ke atas arak. Ini kerana pengharamannya adalah untuk menjaga akal (hifz al-‘aql) yang merupakan tempat pertimbangan dan pengharaman syara’ ke atas arak menunjukkan perhatian yang diberikan kepada maslahah. [Lihat al-Mustasfa, 1/174]
Ianya juga berdasarkan Sabda Nabi SAW:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tiada kemudaran (dalam Syariat Islam) dan tidak harus mengenakan kemudaratan (tanpa hak)”
Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)
Daun ketum meskipun ada faedahnya, namun mafsadahnya lebih besar dan tidak hairanlah kerajaan Malaysia juga telah mengharamkannya melalui Akta Racun 1952, Seksyen 30 (3) dengan menyebutnya sebagai bahan psikotropik. Ini juga secara tidak langsung kaedah sad al-Zari’ah (menutup jalan-jalan mudarat) telah digunakan bagi membendung permasalahan penyalahgunaan daun ketum.
Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan
Kami nukilkan di sini fatwa dari majlis Fatwa Kebangsaan Muzakarah mengenai dadah Syabu dan jenis-jenis dadah baru yang lain yang mana daun ketum juga boleh dimasukkan sekali kerana ‘illah yang sama iaitu memabukkan/mengkhayalkan serta memudaratkan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 Nov 2006 telah membincangkan Hukum Penyalahgunaan Dadah Jenis Syabu Dan Jenis-Jenis Dadah Baru Yang Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru yang lain mempunyai kesan mudharat yang sama seperti ecstasy, katamine dan Gamma Hyroxybutyric Acid (GHB).
Oleh itu, penyalahgunaan dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru yang lain adalah haram dan semua aktiviti yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah ini seperti menanam, memproses, memiliki, menjual, mengedar, membeli atau membenarkan premis digunakan untuk bersubahat dengan penggunaannya adalah juga diharamkan.
KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Setelah meneliti pelbagai pandangan dan pendapat dalam isu penanaman pokok ketum ini, kami lebih cenderung kepada untuk dielakkannya kerana berbeza penggunaannya dengan bab yang lain di mana ianya lebih kepada mudarat dan juga mafsadah.
Keduanya, sekalipun niat baik dan tujuan yang jelas bag tujuan farmaseutikal/perubatan, tetapi isu tahap kawalan agar tidak terarah kepada penyalahgunaannya begitu mencabar untuk dipertahankan. Sudah barang tentu akan di ambil kesempatan dan peluang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Ketiganya, dalam suasana amat sukar menangani isu dadah dan seumpamanya, jika ia dibiarkan untuk pokok ketum ditanam secara berleluasa, maka ia boleh menyukarkan untuk proses pembasmian salah guna dadah.
Seterusnya kami berpendapat bahawa masih banyak lagi jenis tanaman yang boleh dikormesialkan bagi tujuan perubatan dan juga menambahkan pendapatan yang lumayan bagi menggantikan daun ketum dalam skala yang besar. Akhir kalam, semoga Allah SWT sentiasa melindungi rakyat Malaysia dari segala bala-bencana serta memberikan kefahaman yang baik dalam beragama. Wassalam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
29 Julai 2016 bersamaan 24 Syawal 1437H.
http://www.muftiwp.gov.my/