Dengan
keupayaan memusnahkan jerangkap samar, menggali parit untuk dijadikan
kubu, serta melakukan kemusnahan besar yang diinginkan sepanjang
perjalanannya, kereta kebal baru tentera Britain boleh disamakan dengan
apa yang digunakan dalam filem aksi Hollywood.
Direka oleh
syarikat pertahanan dan aeroangkasa Britain BAE SYSTEMS (BAE), kereta
kebal yang dinamakan Terrier itu dihasilkan untuk menghadapi cabaran
perang moden, baik di medan tempur atau di luarnya.
Kerana kemampuannya yang serba boleh, kereta kebal itu dianggap Pisau Tentera Switzerland (Swiss Army Knife) kenderaan perang.
Di
luar medan tempur, Terrier boleh digunakan untuk memeriksa jerangkap
samar dalam tanah dan memusnahkan konkrit dengan penggerudi batu yang
menjangkau sejauh lapan meter dari badannya, menggunakan lengan
teleskopik.
Selain
boleh dikendalikan oleh manusia, jentera seberat 32 tan itu boleh juga
dikendalikan dari jarak jauh sehingga satu kilometer, jika keadaan
difikirkan terlalu bahaya.
Kenderaan tentera pelbagai guna itu
mulanya dilancarkan pada 2013 sebagai sebahagian daripada projek £360
juta (RM2.17 bilion) dengan Kementerian Pertahanan Britain bagi membantu
tentera negara itu melakukan tugas seperti menggali, menggerudi,
mengangkat beban berat dan membersihkan rintangan.
Bagaimanapun,
dengan pembaikan yang berterusan terhadap kemampuannya, Terrier kini
mampu meredah perairan dalam dan tahan dilanda ombak setinggi dua meter
serta memusnahkan jerangkap samar sambil bergerak.
Ini bermakna ia boleh dikendalikan dalam keadaan lebih tegang daripada biasa.
Syarikat
pembuatnya berkata, Terrier boleh menjadi senjata utama di kawasan
pantai atau dikerah ke kawasan bencana yang sukar dijejaki kenderaan
lain.
Kelengkapan baru yang dipasang pada kereta kebal itu,
termasuk pemecah konkrit untuk memusnahkan jalan raya atau landasan bagi
menghalang musuh menggunakannya serta bor tanah untuk menggerudi lubang
untuk digunakan dalam kejuruteraan perang.
Pengurus jualan BAE,
Rory Breen berkata: “Kemampuan Terrier meredah air lebih dalam dan
meningkatkan perlindungan akan menjadikannya lebih sesuai untuk
digunakan di kawasan pantai atau dataran rendah, tempat ia boleh
memainkan peranan penting dalam penghantaran bantuan di kawasan bencana
dan juga perang.
“Dengan
lengan teleskopik, Terrier kekal sebagai kenderaan kejuruteraan perang
paling berteknologi canggih dan fleksibel di dunia.
“Kerana
kekuatan dan kepelbagaian kemampuannya, ia dengan mudah dapat
menyesuiaikan diri dengan cepat dalam pelbagai keadaan, seperti
membersihkan rintangan di hutan atau semak tebal.”
Kenderaan itu mampu mencapai kelajuan 70 kilometer sejam dan boleh dikawal dari jarak sehingga satu kilometer.
Seperti
lengan penggerudi JCB, sistem pengangkat depannya mampu mengangkat
beban seberat lima tan dan memindahkan 300 tan tanah sejam.
Di kawasan yang penuh dengan jerangkap samar, Terrier memiliki senjata khusus untuk memusnahkannya.
Pertama,
roket Python yang digunakannya ialah sistem pemusnahan kawasan periuk
api yang melepaskan hos bahan letupan sejauh 200 meter dari depan
kenderaan itu, ala pencangkuk besi James Bond.
Sebaik digunakan dan memusnahkan periuk api, Terrier boleh menyediakan laluan yang bersih daripada bahan letupan.
Dalam
pada itu, ia mempunyai penyodok yang boleh menyodok tanah untuk
membersihkan periuk api sambil bergerak dengan kelajuan 24 kilometer
sejam.
Jika dicabar, Terrier mampu melawan. Ia boleh dilengkapi mesingan dan pelancar bom asap untuk mempertahankan diri.
Menurut
BAE, Terrier direka untuk memberikan kemudahan maksimum kepada tentera
Britain dengan hanya menggunakan sebuah kenderaan, membenarkan mereka
mengurangkan kelengkapan dan logistik.
Jurutera syarikat itu
masih berusaha menghasilkan kelengkapan baru untuk kegunaannya bagi
membolehkan pelanggan meningkatkan kemampuan kenderaan mereka bagi
memenuhi keperluan tanpa perlu mengubah bentuk asalnya.
sumber: lokman amirul